Sunday, October 24, 2010

bulan bahasa kebangsaan

sempena bulan bahasa kebangsaan ini iaitu oktober, saya mengambil keputusan untuk menulis dalam bahasa Melayu untuk menunjukkan kebanggaan saya terhadap bahasa kebangsaan kita dan juga untuk membuktikan saya bukanlah seekor raksasa kuning atau jingga bermata empat yang tak pandai berbahasa Melayu.

sebenarnya, saya memang pandai berbahasa Melayu sejak dari kecil lagi. seingat saya, daripada lahir lagi saya telah fasih berbahasa Melayu, kerana tidak pula saya ingat sesiapa mengajar saya Bahasa Melayu, yang saya ingat saya sudah pun bercakap dalam bahasa Melayu.

jika orang lain pergi ke sekolah untuk belajar matapelajaran Bahasa Melayu, saya pula sudah fasih berbahasa Melayu, maka saya pun kurang pasti apa yang saya belajar ketika saya di sekolah dahulu. tidak hairanlah apabila saya dipilih mewakili kelas untuk membaca sebuah buku cerita bahasa Melayu ketika hari penyampaian hadiah. namun, sebab saya dipilih mungkin juga disebabkan saya seorang sahaja yang boleh membaca ketika itu, kerana ketika itu saya masih di bangku tadika, dan kanak-kanak lain mungkin lebih sibuk bermain dengan plastisin daripada membaca.

walaupun saya fasih berbahasa Melayu, perbendaharaan kata saya ketika saya masih kecil tidaklah sekaya sekarang ini. maka apabila buku cerita itu mengisahkan tentang seekor ikan haruan, saya pun telah tersalah sebut nama ikan tersebut, daripada sebutan "haruwan" menjadi "haru-an". saya kira pasti ikan tersebut sedikit tersinggung dengan saya.

namun begitu, ianya bukanlah seratus peratus kesalahan saya. tidak pula saya diajar oleh ibu bapa saya mahupun guru-guru tentang nama-nama ikan di Tanah Melayu ini. ia juga mungkin disebabkan saya lebih gemar menjadikan ayam sebagai lauk daripada ikan. oleh sebab itu juga, saya mengetahui banyak nama-nama ayam sejak dari kecil lagi. antaranya termasuklah ayam goreng, ayam golek, ayam percik dan juga ayam KFC. ikan saya tahu ikan haruan sahaja.

selain daripada bahasa Melayu, saya juga boleh berbahasa Inggeris sejak dari kecil lagi, namun tidaklah sehebat saya berbahasa Melayu. mungkin ketika itu saya masih belum yakin atau cukup perbendaharaan kata saya untuk berbahasa Inggeris, tetapi saya tetap faham apabila sesorang bercakap dalam bahasa Inggeris. ini mungkin disebabkan oleh bapa dan ibu saya yang sesekali sesekala bertutur dalam bahasa Inggeris, mungkin juga disebabkan oleh kartun-kartun yang saya tonton ketika itu kesemuanya berbahasa Inggeris. mungkin juga kerana datuk saya sebenarnya seorang askar British, yang telah jatuh cinta dengan seorang gadis tempatan iaitu nenek saya.

tetapi sebab yang terakhir itu tidak mungkin kerana itu hanyalah rekaan semata-mata, datuk saya Melayu tulen.

di sekolah, saya belajar bahawa bahasa Inggeris bukanlah hanya digunakan di dalam kartun semata-mata, sebaliknya ianya merupakan bahasa perantaraan seluruh dunia. maka saya pun belajarlah bersungguh-sungguh bahasa asing ini, sehinggalah keputusan SPM Bahasa Inggeris saya lebih baik daripada keputusan Bahasa Melayu saya. tak apalah, bisik hati kecil saya, asalkan fasih kedua-duanya, tak kisah lah yang mana satu a1 dan mana satu a2.

hanya apabila saya sampai ke menara gading barulah saya sedar akan "kepentingan" bahasa Inggeris ini. semua orang ingin berbahasa Inggeris, semua orang bercakap dalam bahasa Inggeris, sehinggakan Melayu sesama Melayu sekalipun berbahasa Inggeris. walaupun kebanyakan daripada mereka tidaklah mahir dengan hukum hakam tatabahasa Inggeris, mereka tetap ingin bertutur dalam bahasa Inggeris. ada juga Melayu yang lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding Melayu.

hakikatnya, walaupun sudah sekian lama kita merdeka, namun fikiran kita masih dijajah oleh bangsa luar. kita orang Melayu masih mengagung-agungkan bahasa Inggeris, kita mendabik dada merasa bangga apabila kita fasih berbahasa Inggeris, dan memandang rendah terhadap mereka yang kurang fasih. kadangkala kita bercakap dalam Bahasa Inggeris bukan kerana kita selesa bercakap dalam bahasa itu, sebaliknya kerana kita ingin menunjuk-nunjuk kebolehan kita berbahasa Inggeris.

saya akui, saya juga kerap sekali menggunakan bahasa Inggeris, tetapi bukanlah niat saya untuk menunjuk-nunjuk ataupun teringin menjadi mat salleh, sebaliknya hanyalah kerana saya selesa berbahasa Inggeris dan suka saya menggunakan bahasa itu apabila sesuai keadaannya. kadang kala saya melihat orang berbahasa Inggeris tunggang terbalik dan dirojakkan pula, ternyata mereka tidak selesa bercakap dalam bahasa itu, sebaliknya hanya ingin kelihatan sejuk (cool).

(tetapi mungkin juga orang itu dalam proses pembelajaran, sekiranya ya maka sayalah yang salah dan sayalah juga yang lemah kerana memandang serong terhadap seseorang, wallahualam)

hakikatnya bahasa Inggeris itu hanyalah satu bahasa asing, tiada apa hebatnya jika dibandingkan dengan bahasa kita sendiri, cumanya penggunaannya meluas di seluruh pelusuk dunia. kira-kira 500 tahun dahulu, bahasa kita juga berada di bibir setiap pedagang-pedagang yang berlabuh dan berjual beli di pelabuhan Melaka, namun firasat saya mengatakan mereka tidak pula merasakan ianya sejuk untuk berbahasa Melayu, sebaliknya hanyalah menggunakan bahasa kita sebagai alat yang penting dalam pekerjaan mereka.

tetapi tidaklah pula saya tahu sekiranya anak-anak pedagang ini bercakap dalam bahasa Melayu berojakkan Portugis contohnya kerana mereka terlalu mengagungkan kaum Melayu dan ingin menjadi Melayu celup.

haruslah kita berbangga dengan bahasa kita sendiri, kerana jika bukan kita, siapa lagi. janganlah kita sekadar menceduk perkataan Inggeris dan menggunakannya dalam bahasa kita yang indah ini walhal perkataan itu telah pun wujud dari dahulu lagi dalam perbendaharaan kata bahasa kita. contohnya tidak perlulah kita menggunakan perkataan diskusi, sedangkan dari dahulu lagi perkataan perbincangan itu telahpun wujud. tidak perlulah kita menggunakan perkataan bajet, sedangkan tiada kurangnya perkataan belanjawan itu. oh ye, saya juga tidak suka perkataan laman sesawang. tak sedap langsung bunyi nya.

tetapi kita tidak boleh juga menjadikan sayang kita kepada bahasa Melayu alasan untuk tidak fasih dalam bahasa Inggeris. sepertimana pedagang-pedagang asing dahulu mempelajari bahasa Melayu untuk berdagang jualan masing-masing, begitu juga perlunya kita mahir dalam bahasa antarabangsa zaman ini untuk memastikan kita tidaklah ketinggalan di belakang, duduk di bawah tempurung seperti seekor katak yang terperangkap. kita haruslah melompat keluar dari tempurung itu, dan melompat pula ke kelas bahasa inggeris jika perlu. sebenarnya kalau diikutkan, 11 tahun persekolahan sudah cukup untuk kita mahir berbahasa Inggeris walaupun dari mulanya kita tidak tahu langsung bahasa Inggeris, pasal kalau difikirkan lagi, umur kita setahun dua pun kita sudah pandai berbahasa Melayu.

tetapi tak apalah, yang pentingnya keinginan untuk belajar dan memperkasakan diri sendiri. itu sajalah bebelan saya untuk kali ini, sekadar ingin menunjukkan perasaan sayang dan bangga saya terhadap bahasa ibunda.

salam hormat, salam mesra.

:)

8 comments:

Echad said...

sejuk betul kamu berbahasa melayu :P

Anonymous said...

you really dunno what else to do online issit. baca ini karangan bikin stress haha

Me said...

ye saya memang sejuk. siapakah awak wahai anonymous. ok apa entry ni. haha

Adilah said...

Bagus2. Bulan bahasa melayu! Tapi kenapa kena ada bulan bahasa melayu? US ada buat bulan bahasa inggeris ke? Biasanya orang buat bulan bahasa ni untuk bagi pendedahan lebih luas je. Kalau bahasa melayu tu bahasa kebangsaan, perlu la buat macam ni? Saya rasa sedih sebab bahasa melayu pun perlu dipromosi.

Tulisan akhir kata: Bahasa Baku lebih sejuk daripada bahasa pasar. Suka entri ni. Lawak.

Anonymous said...

I'm so fabulous you cannot tell who I am? Gah.

U better stick to English when writing long posts:P Not that I have anything against BM. In fact, I suka BM kot. But your formal-like BM gives me headache lah untuk membacanya. Kita biasa cakap but x write in BM kot.

Cheers ;)

Echad said...

"sesejuk bahasa melayamu" boleh buat novel!!

Anonymous said...

Salam.hi yasin! :)

"merojakkan bahasa untuk kelihatan sejuk" uwww...:P saya suka sejuk =D
Suka baca post yasin. Chopp! "post"
dalam bahasa melayu apa ya? "Sejujurnya" sayalah antara ribuan rakyat Malaysia yang merojakkan bahasa ibunda. bukan untuk jadi sejuk semata-mata tapi mungkin kerana adakalanya perkataan bahasa inggeris ni lebih praktikal. Contoh:"laman sesawang" *makes me think about "SPIDERS"*....huhu

~meyo~

Anonymous said...

Saya sedikit terhibur membaca penulisan anda dalam Bahasa Melayu. Anyways 10 marks for the effort Mr.Foureyedgeekazoid.