sedar tidak sedar telah setahun berlalu dari kali terakhir saya menaip dalam bahasa Melayu. (jika ingin membaca boleh lah klik di sini).terlalu banyak yang telah berlaku sepanjang masa setahun ini, mana mungkin semua itu diceritakan ke dalam bentuk kata-kata.
(bila difikirkan semula, ianya mampu dilakukan, tetapi saya pun tidak sanggup hendak menaipnya.)
jika sebelum ini saya telah mempunyai buah fikiran tentang apa yang hendak dikisahkan, malangnya kali ini saya tidaklah begitu bernasib baik, hanya sekadar niat hendak menaip sambil membanggakan bahasa bangsa.
secara amnya, saya amatlah menyayangi bahasa dan bangsa saya ini. mana mungkin digantikan bahasa nenek moyang saya ini dengan bahasa penjajah. sebelum saya lahir lagi, dengan bahasa inilah bapa saya yang kacak berkenal-kenalan dengan ibu saya yang lawa, dengan bahasa inilah ibu saya dodoikan saya ketika saya bermain bola sepak di dalam kandungannya (walaupun apabila dilahirkan kaki bertukar bangku), dengan bahasa inilah arwah datuk saya membelikan saya makanan kegemaran saya sampai sekarang iaitu aiskrim, dengan bahasa inilah opah saya menjaga saya sampai ke besar dan dengan bahasa ini juga lah saya bergaduh dengan adik saya masa kecil-kecil dahulu.
sekarang saya masih kecil tetapi adik saya agak besar. ha ha ha. oh tapi suara saya besar.
tetapi tidak pula saya merasakan perasaan sayang kepada bahasa dan bangsa itu terserlah dari khalayak ramai. masing-masing beriya-iya hendak merupakan diri itu seperti bangsa lain, dengan rambut daripada hitam diwarnakan ke kuning untuk menyerupai bangsa Saiya yang super, mata coklat gelap di birukan agar sedondon dengan penyedia perkhidmatan prabayar, dan pakaian kebangsaan ditinggalkan pula dan digantikan dengan pakaian yang mengalahkan peragawati Victoria's Secret.
bukanlah saya tahu sangat tentang peragawati Victoria's Secret dan bagaimana pula pakaian Adriana Lima dan Gisele Bundchen tu, kebetulan sahaja sesekali sesekala terpandang sekali dua. Jarang terpandang kali ketiga.
berbalik kepada tajuk asal saya, terlalu ramai yang tidak lagi mahu menjadi Melayu, sebaliknya berlumba-lumba melupakan bangsa kita yang megah dengan adat dan adab ini.
apakah kurang cantiknya perempuan Melayu? begitu cantik sekali si Puteri Gunung Ledang sehinggakan Sultan Melaka sanggup menghabiskan harta kekayaannya untuk menjayakan projek mega berupa jambatan emas dan perak dari Melaka ke kaki Gunung Ledang.
hati saya mengatakan Puteri Gunung Ledang itu tidaklah memakai kanta sentuh berwarna kelabu. dan jauh sekali mewarnakan rambutnya seperti warna rambut orang utan.
apakah tidak menarik hati lelaki Melayu? jika tidak, mana mungkin Salleh Yaakob berkahwin empat.
(kenyataan di atas mampu berdiri sendiri tanpa sebarang pengukuhan.)
apakah tidak indah bahasa Melayu itu? amatlah mudah untuk dipelajari, namun terlalu sukar untuk dikuasai. nampak senang untuk difahami, amat dalam makna tersembunyi.
apakah tidak halus adat Melayu itu? tidak ada bangsa yang membahasakan diri mereka 'hamba', dalam usaha sentiasa mengingati kedudukan mereka sebagai hamba Tuhan. dan dibahasakan pula orang lain sebagai 'tuan hamba' kerana segala-galanya datang dari Allah, dan pada masa yang sama mengingatkan diri agar sentiasa merendah diri.
pelikkah kita apabila peribahasa "biar mati anak jangan mati adat" disebut-sebut nenek moyang kita? sedangkan kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa memberitahu kita telah dibunuh seorang kanak-kanak oleh Nabi Khidir, kerana tidak mahu anak itu menyesatkan ibu bapanya yang alim kelak.
sekiranya adat telah bersulamkan agama, apa lagi yang perlu dipelikkan?
tetapi yang kita lihat sekarang jauh berbeza, mati terus adat itu dibunuh anak.
saya tidak mahu berleter panjang, kerana saya bukanlah seorang pakcik tua yang terkenang-kenangkan zaman dahulu kala.
saya hanyalah seorang pakcik muda, yang risaukan masa depan.
bukan sahaja masa depan saya, masa depan keturunan saya, dan masa depan bangsa saya.
teringat saya kepada kata-kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia.
mungkin saya salah faham maksud beliau.
mungkin dia bukan ingin menyatakan yang Melayu itu takkan hilang.
mungkin dia telah merenung ke masa hadapan, lalu terkejut.
"takkan Melayu hilang di dunia?!?"
sekian sahaja dari saya.
salam.
No comments:
Post a Comment